KUALA LUMPUR: Kadar keciciran dalam kalangan pelajar sekolah menengah lebih tinggi berbanding sekolah rendah kerana kebanyakan pelajar memilih untuk bekerja ekoran desakan ekonomi keluarga.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, sehingga Jun lalu, jumlah keciciran pelajar sekolah menengah merekodkan 0.99 peratus sementara pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus.

"Kita dapati di peringkat menengah, kadar keciciran lebih tinggi. Kita juga sudah membuat lawatan ke rumah-rumah pelajar yang mengalami keciciran dan faktor utama adalah kemiskinan kerana kebanyakan murid menengah sudah mula bekerja.

"Bila mereka sudah mula bekerja, mereka mesti menanggung ekonomi atau sara hidup keluarga masing-masing.

"Jadi mereka memilih tidak meneruskan pelajaran. Kementerian Pendidikan sedang mencari penyelesaian kepada isu ini," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang bertanyakan sejauh mana inisiatif sistem berkualiti tinggi diusahakan oleh KPM diberikan kepada keluarga miskin di bandar dan luar bandar.

Sehubungan  itu, Hui Ying memaklumkan, pihaknya menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum. 

Bantuan itu akan diagihkan kepada murid yang layak dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

"Ia seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS)," ujarnya.

Selain itu, tambahnya, pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling serta guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan.